Sabtu, 3 Mac 2012

MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS 2012


MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH,
PENGAWAS PUSAT SUMBER,
PENGAWAS KOPERASI DAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA.

TARIKH         : 26 FEB 2012 (AHAD)
MASA                        : 7.40 PAGI
TEMPAT        : DATARAN AL-FARUQI

            Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas telah berlangsung dengan jayanya dan dirasmikan oleh Cif Inspektor Ismail bin Abd Ghani, Ketua Bahagian Hal Ehwal Awam IPD Kemaman. Majlis ini bertujuan untuk melantik dan memperkenalkan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber sekolah, pengawas koperasi dan pembimbing rakan sebaya secara rasmi. Ini kerana pengawas-pengawas sekolah adalah rol model kepada pelajar-pelajar lain di sekolah dari segi semua aspek termasuk akademik dan sahsiah diri. Secara tidak langsung, pengawas-pengawas sekolah diberi tanggungjawab untuk membantu pihak sekolah dalam melahirkan generasi yang berdisiplin dan cemerlang.

            Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas juga memberi pengiktirafan kepada pengawas supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan sentiasa menunjukkan penampilan yang cemerlang dalam semua bidang. Sekaligus mendidik pelajar dengan sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

            Pada awal majlis berlangsung, Tuan Pengetua En.Md Nazeri bin Hassan telah memberi sedikit ucapan alu-aluan dimana telah menekankan akan peranan pengawas-pengawas sebagai pemimpin. Pengawas-pengawas sekolah perlu memegang amanah dengan sebaik-baiknya, berani menegur kesilapan, mesti berilmu, bercakap benar dan sentiasa cergas dalam membantu guru-guru. Beliau juga memberikan sedikit contoh tauladan kepimpinan Saidina Abu Bakar yang telah dilantik sebagai Khalifah.

            Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas telah memberi pengiktirafan kepada 75 orang pengawas sekolah, 24 orang pengawas pusat sumber, 20 orang pengawas koperasi dan 28 orang pembimbing rakan sebaya. Pembacaan ikrar yang diketuai oleh Shafiq bin Johar selaku ketua pengawas sekolah bersama-sama ketua pengawas pusat sumber, pengawas koperasi dan pembimbing rakan sebaya sebagai menerima tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

            Diharap, Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas ini akan dapat meningkatkan jati diri pengawas-pengawas untuk menjalankan tugas dengan lebih berdedikasi.

Tiada ulasan: